Dalilnya: Firman Allah s w t menerusi Surah Al-Ahzab ayat 4 dan 5:
وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءَكُمْ أَبْنَاءَكُمْ (4) ادْعُوهُمْ لآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ فَإِنْ لَمْ تَعْلَمُوا آبَاءَهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَمَوَالِيكُمْ"
ertinya: "Dan Allah tiada menjadikan anak angkatmu itu menjadi anakmu.. Panggillah mereka menurut nama bapanya; hal itu lebih adil di sisi Allah. Kalau kamu tiada mengetahui bapanya maka mereka itu menjadi saudara kamu dalam Islam dan menjadi anak angkat."
Rasulullah s a w bersabda menerusi Hadisnya yang bermaksud : "Orang-orang yang berbin/binti kepada orang yang bukan bapanya yang sebenar maka ia dilaknati oleh Allah."
Dan sebuah lagi Hadis yang bermaksud : "Orang-orang yang berbin/binti-kan orang yang bukan bapanya yang sebenarnya maka ia telah menempah tempat duduknya di dalam neraka."
Ayat dan Hadis tersebut telah menyokong bahawa perbuatan mengebin/membintikan seseorang yang bukan ayahnya adalah haram.
Menurut hukum Islam anak luar nikah itu, sama ada lelaki atau perempuan, bukanlah menjadi waris lelaki yang menyebabkan kelahirannya bahkan adalah asing terhadapnya. Jika anak itu perempuan maka lelaki yang menyebabkan kelahirannya itu bukanlah walinya dalam perkahwinan anak itu.
Orang-orang Islam yang mengambil anak angkat dinasihatkan supaya mengebin/ membintikan anak angkatnya itu dengan nama bapanya yang sebenar jika bapanya yang sebenar itu beragama Islam atau mengebin/membintikannya dengan Abdullah sekiranya anak angkatnya itu bukan berasal dari orang Islam. Anak luar nikah pula haruslah dibin/bintikan Abdullah dengan tujuan mengelakkan kekeliruan pernikahan dan juga berkenaan dengan pembahagian harta pusaka serta memudahkan urusan pentadbiran.
Anak angkat tidak boleh menerima pusaka dari bapa angkatnya; dan anak luar nikah tidak boleh menerima pusaka dari lelaki yang menyebabkan kelahirannya.
Sekiranya bapa angkat itu hendak memberikan sebahagian daripada hartanya kepada anak angkatnya maka hendaklah ia membuat wasiat menguntukkan tidak lebih dari 1/3 (sepertiga) bahagian harta peninggalannya bagi anak angkatnya itu. Sama juga kedudukannya dengan anak luar nikah.