
Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa
menggunakan ubat atau suntikan untuk merangsang pengeluaran susu badan adalah
harus dengan syarat ianya seorang wanita yang telah mencapai umur baligh sama
ada telah berkahwin ataupun sebaliknya dan ubat atau hormon yang digunakan
tersebut tidak mengandungi sebarang unsur-unsur najis atau mudharat. Keharusan
ini tidak tertakluk bagi seorang lelaki yang berubah menjadi wanita melalui
pertukaran jantina.
Jumhur
fuqaha’ juga bersepakat bahawa terdapat dua kaedah penyusuan bagi menjadikan
bayi tersebut mahram dengan sebab susuan, iaitu penyusuan secara langsung dari
payudara dan penyusuan secara tidak langsung seperti menggunakan tiub, botol
susu dan sebagainya. Sehubungan itu, bagi wanita yang menggunakan alat sokongan
atau alat bantuan sebagai kaedah menyusukan bayi, Muzakarah memutuskan bahawa
bayi tersebut sah sebagai anak susuan apabila cukup syarat-syarat penyusuan
yang ditetapkan oleh Syarak seperti berikut:
a. bilangan susuan hendaklah dengan lima kali penyusuan;
b. susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi; dan
c. umur bayi tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah.
Hujah thabitan ini ialah kerana
susu ibu tersebut telah menjadi makanan asasi kepada bayi yang menumbuhkan
daging dan memanjangkan tulang, sama seperti bayi yang menyusu secara terus
daripada payudara. Walau bagaimanapun, sekiranya kaedah yang dilakukan adalah
dengan cara menyuntik susu melalui qubul atau dubur, menitik susu ke dalam
mata, telinga atau di tempat luka tubuh badan, maka bayi tersebut tidak sah
sebagai anak susuan.
Muzakarah juga memutuskan bahawa seorang wanita
beragama Islam tidak dilarang untuk menyusukan bayi bukan Islam dan begitu juga
seorang bayi beragama Islam boleh menyusu kepada wanita bukan Islam kerana
tidak ada nas syarak yang melarangnya. Penyusuan tersebut tidak memberi kesan
kepada aqidah dan agama bayi yang disusukan tersebut.
Muzakarah juga memutuskan bahawa susu ibu yang
bercampur dengan bahan-bahan lain adalah sama seperti susu ibu yang tidak
bercampur dengan makanan, minuman atau lainnya sepertimana pendapat yang rajih
daripada ulama’ mazhab Shafie dan Hanbali, kerana untuk thabit menjadi anak
susuan ialah perlu memenuhi syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh
Syarak.
Bagi seorang lelaki yang mengahwini wanita yang
menyusukan bayi angkat dan bayi tersebut telah thabit menjadi anak susuan, maka
Muzakarah memutuskan bahawa lelaki yang menjadi suami kepada wanita berkenaan
adalah menjadi mahram kepada anak susuan tersebut.
No comments:
Post a Comment